PETALING JAYA – Biarpun tuah tidak begitu menyebelahinya selepas hampir lima tahun mencuba nasib dalam bidang nyanyian, penyanyi Zarol Zarif tidak pernah berputus asa.
Malah, baru-baru ini Zarol yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia 2016 (AF) telah muncul dengan single keempatnya berjudul Kan Kan ciptaan bersama dengan Cat Farish.
Menurut Zarol atau nama sebenarnya, Mohamad Afzarul Dzarif Mohd. Mazle, 29, walaupun pernah berasa kecewa namun, dia tidak akan berhenti mencuba mahupun berputus asa untuk menjadi penyanyi dikenali ramai.
Hal ini kerana, anak kelahiran Johor Bahru itu ingin menunaikan impian arwah bapanya yang mahu dia menjadi seorang penyanyi.
“Jika ikutkan memang kecewa dan penat, namun saya tidak berputus asa kerana arwah ayah saya. Mulanya saya tidak berminat langsung dalam bidang nyanyian, tetapi arwah ayah yang memberi dorongan dengan mendaftarkan saya ke pertandingan karaoke.
“Arwah ayah jugalah yang menemani dan menghantar saya setiap tahun untuk menghadiri uji bakat AF. Namun, setiap kalinya saya gagal.
“Apa yang membuatkan saya ralat, setahun selepas arwah ayah meninggal dunia saya dapat masuk AF. Arwah ayah tidak sempat melihat saya menyertai AF dan sebab itu saya tidak akan berputus untuk meneruskan impian arwah ayah,” kongsi Zarol.
Zarol yang kini bersama Ace Talents berharap percubaan keempatnya akan membuahkan hasil. Malah, Zarol sanggup menukar haluan muzik demi meraih perhatian daripada pendengar.
“Saya meminati lagu balada seperti lagu-lagu Anuar Zain, namun selepas beberapa kali mencuba saya sedar yang saya perlukan sebuah lagu santai dan mudah dinyanyikan orang ramai.
“Maka, terhasil lagu berjudul Kan Kan. Lagunya cukup ringan dan judulnya juga diambil daripada perkataaan yang digunakan setiap hari oleh rakyat Malaysia,” tutur Zarol tentang single yang telah
pun dilancarkan di semua platform digital seperti Spotify, JOOX dan Apple Music sejak 26 November lalu.
Ironinya, meskipun sudah lima tahun bergelar penyanyi, Zarol kini lebih dikenali sebagai seorang YouTuber menerusi Cikidot Channel.
Sejak bergelar YouTuber secara serius bersama dua lagi ahli, Cikidot Channel berjaya memiliki 1 juta pengikut dengan lebih 200 juta jumlah tontonan.
“Percubaan serius dalam YouTube bermula selepas saya berasa penat untuk mengharapkan orang nampak bakat saya. Bermula dengan kandungan yang mengarut, tidak sangka ramai pula yang memberi sokongan.
“Sekarang walaupun selesa sebagai YouTuber, saya tetap tidak akan berhenti dalam bidang nyanyian. Impian peribadi saya sebelum berusia 30 tahun adalah mahu memiliki sebuah lagu popular yang menjadi siulan ramai,” kongsi Zarol. – K! ONLINE