PETALING JAYA – Tampil mempertahankan tindakan dirinya menghantar anak sulung, Muhamad Rayyan Khalaf yang baru berusia 2 tahun ke sekolah, pelakon Elfira Loy menegaskan semua itu terpulang kepada kehendak masing-masing sebagai ibu bapa.
Pemilik nama lengkap, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu berkata, menurut beberapa kajian yang dijalankan, ada manfaat tersendiri menghantar anak-anak kecil ke sekolah pada usia kecil.
“Menghantar anak-anak kecil ke taman asuhan (playschool) akan membantu mereka untuk membangunkan kemahiran ‘motor’ (aktiviti yang melibatkan pergerakan otot dalam badan).
“Mereka juga dapat membangunkan kemahiran sosial dan harian. Memang ada kajian menunjukkan perbezaan antara kanak-kanak yang aktif bermain dengan yang kurang melakukan aktiviti yang merangsang kemahiran motor,” katanya menerusi satu entri dalam Instastory.
Ujar Elfira lagi, kalau mereka yang berperanan sebagai ibu bapa belum bersedia menghantar anak kecil ke taman asuhan, itu terpulang kepada mereka.
“Kalau kalian tak bersedia nak hantar anak-anak anda (ke sekolah), tidak mengapa. Kalian boleh sentiasa buat aktiviti bersama anak-anak di rumah. Kalau kalian tahu bagaimana dan punya waktu,” ujar Elfira, 27.
Getusnya, dia berasa sedikit terganggu apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakan dirinya menghantar anak ke taman asuhan atau sekolah ketika masih berstatus kanak-kanak kecil.
“Biarpun saya tidak masuk mengambil pusing tentang mesej (dari netizen), saya juga rasa terganggu dan perlu terangkan berkenaan stigma sesetengah ibu bapa yang berfikiran mengapa anak-anak terlalu awal ke sekolah,” katanya.
Elfira Loy mendirikan rumah tangga dengan Muhamad Faris Khairol Anuar pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata pertama lelaki bernama Muhamad Rayyan Khalaf pada 1 Oktober tahun yang sama. – K! ONLINE