PUTRAJAYA – Tiada kes penularan varian baharu Covid-19, Omicron seperti didakwa dikesan di negeri Perak.
Penafian itu dibuat Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa bahawa varian Omicron yang merupakan varian baharu Covid-19 dengan 32 mutasi ‘spike’ protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta dikesan di negeri Perak.
“KKM menjelaskan bahawa setakat ini tiada kes Covid-19 varian Omicron dikesan di negara ini.
“Orang ramai disaran agar menghentikan penyebaran maklumat daripada sumber yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Katanya, orang ramai boleh merujuk media sosial rasmi KKM untuk mendapatkan maklumat yang sahih. – K! ONLINE