LUMUT – Seorang remaja maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan lain di sebuah kawasan perumahan di Taman Hijau, Sitiawan dekat sini awal pagi tadi.
Mangsa, Nga Hu Chen, 18, yang memandu Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pemandu kenderaan utiliti sukan jenis Proton X70 pula cedera.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.12 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan yang diketuai Komander Operasi, Khairul Azizi Kamaruddin bergegas ke lokasi kejadian
“Setibanya di lokasi didapati kemalangan melibatkan kereta Perodua Myvi bertembung dengan Proton X70,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan bomba mendapati pemandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduknya manakala pemandu Proton X70 telah dikeluarkan oleh orang ramai.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di tempat kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.55 pagi,” ujarnya. -K! ONLINE