HARI ini pada tanggal 31 Ogos, 63 tahun lalu, berlaku detik bersejarah kepada negara apabila Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman membacakan teks ‘Pemasyhuran Kemerdekaan’ sebelum melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Upacara yang sangat bermakna disaksikan oleh kira-kira 20,000 hadirin di Stadium Merdeka itu dikatakan berlangsung dalam keadaan meresahkan berikutan hujan lebat yang melanda ibu negara sejak awal pagi lagi.
Buat pertama kali juga, lagu Negaraku bergema di stadium berkenaan serentak dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang) dinaikkan.
Azan yang berkumandang seusai bendera dinaikkan menyebabkan ramai hadirin ketika itu gagal menahan air mata kesyukuran. Tidak ketinggalan doa dibacakan sebelum tamat upacara tersebut bagi memohon keberkatan dan keredaan Allah terhadap sebuah negara yang baharu dilahirkan ketika itu.
Alhamdulilah pada hari ini, kita mampu mengecapi pelbagai nikmat hasil kemerdekaan tersebut. Bayangkan di manakah kita sekarang ini tanpa sebuah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
Tanpa kuasa pemerintahan sendiri, tidak mungkin kita dapat melihat betapa makmur dan sejahteranya sebuah negara bernama Malaysia ini, tempat kita lahir, membesar dan menjalani kehidupan sehari-hari.
Kebijaksanaan pemimpin terdahulu merencana struktur pembangunan dan kemajuan rakyat berbilang kaum jelas terbukti sangat berjaya dan membanggakan.
Meskipun wujud kelemahan, namun apa yang pasti kita tidak mampu menafikan bahawa terlalu banyak kejayaan yang telah dicapai hasil kegigihan memacu perjalanan negara menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan semasa.
Tinggal lagi kita generasi baharu hari ini perlu bersama-sama meneruskan legasi kecemerlangan itu demi masa depan yang lebih gemilang selain jaminan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan.
Apa yang membimbangkan selepas 63 tahun mencapai kemerdekaan, masih ada pihak yang cuba menukar fakta sejarah dengan memutar-belitkan fakta untuk menjadikan pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.
Sepatutnya, usaha seperti itu bukan sahaja ditentang tetapi pelaku yang terlibat diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa. Jika dibiarkan, akan ada pihak lain secara langsung atau tidak langsung meneruskan usaha menukar fakta sejarah negara yang mencatat bukan sedikit pengorbanan darah dan nyawa anggota keselamatan.
Kepada generasi hari ini, sewajarnya kita tidak boleh berasa selesa dengan nikmat yang ada. Apa yang kita kecapi kini tidak datang bergolek begitu sahaja. Semuanya hasil kegigihan dan kebijaksanaan orang-orang terdahulu. Tidak kiralah sama ada mereka mempunyai pertalian darah atau tidak dengan kita.
Kita juga sepatutnya berasa insaf kerana hari ini ramai rakan kita di negara merdeka lain terpaksa menjalani kehidupan dalam keadaan daif, dilanda peperangan selain diancam masalah penyakit dan kebuluran.
Oleh itu, marilah kita kekal bersatu terus mengukuhkan Malaysia sebagai negara merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Perjuangan kita masih panjang dan berliku.