fbpx

Kos dedak lebih murah di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ayam hidup dari Thailand dijual lebih murah berbanding ayam di Malaysia berikutan harga bagi pasaran makanan ruminan itu dikawal kerajaan termasuk harga bahan mentah lain yang lebih rendah.

Di George Town, seorang peniaga ayam segar yang mahu dikenali Din, 45, berkata, dedak yang dipasarkan di negara itu juga lebih berkualiti dan mampu membantu meningkatkan tumbesaran ayam dengan cepat dan sihat.

Dakwanya, persaingan tinggi dalam urusan perniagaan ayam hidup di negara itu juga memaksa syarikat pengeluar ternakan itu memasarkan pada harga yang lebih rendah.

“Cara perniagaan di sana (Thailand) jauh berbeza dengan Malaysia. Pasaran harga makanan ruminan untuk ayam, lembu dan kambing dikawal selain sentiasa dipantau pihak berkuasa.

“Mereka dilihat lebih ber­disiplin dan telus dalam perniagaan. Persaingan tinggi terhadap permintaan haiwan ternakan menyebabkan masing­-masing meletakkan harga yang lebih murah.

“Persoalannya, kenapa harga ayam dan dedak di negara kita jauh berbeza dengan negara jiran. Kerajaan perlu rungkai soalan ini,” tegasnya kepada Kosmo! semalam.

Di Kuala Terengganu, seorang pembekal ayam, Amirrul Aqmal Razarudin berkata, kos operasi yang jauh lebih rendah menyebabkan ayam hidup dari Thailand yang diseludup ma­suk dapat dijual dengan harga murah di pasaran negara ini.

“Rata-rata penternak ayam di negara ini dibebani kos harga dedak yang naik berlipat ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac tahun lalu.

“Dedak makanan ayam naik lagi RM130 seguni berbanding RM116 pada awal tahun ini.

“Saya difahamkan kos dedak di negara jiran jauh lebih murah kerana bahan mentah bagi memproses dedak dihasilkan sendiri selain faktor tukaran wang asing,” katanya.

Katanya, sebagai perban­dingan, rata-rata penternak ayam tempatan bergantung hampir seratus peratus dengan pengimport bagi mendapatkan bekalan dedak.

“Cadangan saya bagi penyelesaian jangka pendek dan sederhana, kerajaan disaran memberi subsidi atau me­netapkan harga siling bagi dedak ayam,” katanya.

Di Kota Bharu, seorang pekerja swasta, Faizal Abd. Latif, 36, berkata, sukar untuk pengguna membezakan antara ayam mentah tempatan atau seludup kerana kebanyakan premis menjual bekalan yang siap disembelih dan diproses.

“Sebagai pengguna, kami mahukan bekalan yang terbaik untuk kegunaan harian tidak kira ayam mentah itu dimasak di rumah atau semasa menjamu selera di kedai makan.

“Jika ayam dari Thailand boleh menyebabkan penyebaran selesema burung, ia patut dipandang serius oleh semua pihak,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, kegiatan penyeludupan ayam hidup dari Thailand khususnya ke Kelantan boleh me­ngancam kesihatan awam serta unggas di negara ini menerusi penyebaran penyakit selesema burung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI