KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan penyokong-penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok agar lebih bertanggungjawab dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aksi final Piala Malaysia.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kawalan di dalam dan luar stadium akan dipertingkatkan bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin serta mengikut SOP dan seramai 1,497 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan semasa perlawanan melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City) nanti.
Katanya, apa yang menjadi keutamaan pihak polis adalah mengelakkan sebarang kekecohan berlaku sepanjang perlawanan berlangsung memandangkan ini adalah perlawanan final pertama yang berlangsung dengan SOP ketat dalam situasi pandemik Covid-19.
“Untuk makluman semua, pihak polis telah menetapkan beberapa kumpulan dan antaranya adalah kumpulan tangkapan jika ada penonton yang melakukan perkara di luar batasan, bertindak ganas atau mencetuskan sebarang provokasi di dalam stadium.
“Jadi, kumpulan ini akan duduk bersama penonton di dalam stadium untuk memantau dan jangan ingat polis tiada dengan anda sebab mereka akan sentiasa memerhatikan gerak geri dan tingkah laku penonton sepanjang perlawanan.
“Pihak polis tidak akan tengok final, mereka hanya akan perhatikan penonton sahaja dan semua penyokong dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi segala peraturan bagi menjaga kelancaran perlawanan malam esok,” tegas Muhammad Idzam pada sidang akhbar di Blik Media Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Antara SOP lain perlu dipatuhi adalah membabitkan penonton yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium.
Selain itu, perkara yang turut dititikberatkan adalah kelancaran lalu lintas pada hari perlawanan di mana penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam (LRT) ke stadium kerana parkir yang agak terhad.
Pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar Bukit Jalil di mana tindakan saman dan tunda akan diambil sekiranya ada kenderaan menghalang lalu lintas.
Apa yang penting adalah penonton yang hadir dinasihatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka selain mengharapkan agar tiada sebarang provokasi dilakukan penonton yang boleh mencetuskan kekecohan sewaktu atau selepas perlawanan berlangsung. – K! ONLINE