PETALING JAYA –Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah lama dikenali dalam peranannya membangunkan modal insan negara, menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) yang menyediakan bantuan pendidikan, manakala Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebagai menara gading melahirkan insan berkualiti.
Berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa pendidikan merupakan asas utama untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, YTN telah mengagihkan lebih RM1.2 bilion sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman boleh ubah sejak ditubuhkan pada 1993.
Bantuan tersebut telah memanfaatkan lebih 18,500 pelajar, termasuk lebih 8,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 yang menerima Dermasiswa MyBrighter Future (MyBF) bermula tahun 2018 bagi tiga peringkat pengajian, termasuk ijazah sarjana muda.
TNB komited menaja seramai 11,000 pelajar menerusi MyBF dalam tempoh lima tahun.
Program MyBF adalah pembiayaan pendidikan yang istimewa iaitu tiada anugerah lain yang seumpamanya di negara ini.
Ia khusus untuk anak-anak daripada keluarga B40 yang layak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, tanpa perlu memohon atau melalui proses temu duga.
Mereka akan dibiayai sepenuhnya sepanjang tenpoh pengajian tanpa memerlukan bayaran balik.
“Inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah, malah membolehkan anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik dan membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan.
“Komitmen ini diteruskan dalam keadaan sukar susulan pandemik Covid-19 dengan berpegang kepada keyakinan bahawa hanya satu generasi diperlukan bagi mengubah kehidupan sebuah keluarga dan masyarakat,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.
Bagi tahun 2021, TNB melalui YTN memperuntukkan sejumlah RM35 juta bagi anugerah biasiswa dengan kos RM1 juta seorang di luar negara dan RM120,000 hingga RM140,000 seorang sepanjang tempoh pengajian di dalam negara.
Penajaan tersebut antara lain merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian, elaun sara hidup bulanan, elaun komputer dan elaun peralatan.
Pada Oktober lalu, seramai 93 penuntut menerima anugerah biasiswa TNB untuk mengikuti pengajian Kejuruteraan Tenaga Elektrik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Perakaunan/Kewangan serta Sains Komputer dan Analisis Data di universiti tempatan dan di luar negara.
Bagi pinjaman boleh ubah, RM85 juta diperuntukkan kepada 211 pelajar untuk mengikuti pengajian di UNITEN dan IPTA di peringkat Diploma, Program Asas dan Ijazah Sarjana Muda.
Tidak hanya menyokong keperluan pelajar di peringkat pengajian tinggi, TNB turut mengadakan pelbagai inisiatif penajaan pendidikan serta latihan dalam misi membantu kerajaan membangunkan modal insan yang berkebolehan.
Antaranya menerusi Program Sekolah Amanah dengan objektif meningkatkan pembangunan kurikulum di lapan buah sekolah terpilih untuk tempoh selama lima tahun mulai tahun 2017 hingga 2021. Sehingga tahun lalu, RM25.6 juta telah dibelanjakan.
Sementara program Sekolah Angkat PINTAR TNB juga diteruskan melalui pengambilan 11 buah sekolah baharu di seluruh Semenanjung dengan tajaan RM945,000 bagi tempoh tiga tahun sehingga 2023.
Hal ini menjadikan jumlah sekolah yang menerima manfaat sejak program ini dilancarkan pada 2007 bertambah kepada 66 buah sekolah.
Selain itu, TNB menjadi antara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) terawal yang bangkit menyahut seruan Khazanah Nasional melalui Pintar Foundation untuk mengambil sekolah angkat dalam kalangan sekolah rendah dan bukan di kawasan bandar.
Sehingga 2019, TNB telah membelanjakan sebanyak RM6.74 juta bagi membiayai program PINTAR untuk 55 sekolah rendah luar bandar.
Inisiatif berkenaan mengurangkan jurang perbezaan daripada akses kepada pendidikan berkualiti dan holistik antara murid-murid di luar bandar dan murid di bandar.