fbpx

Sufian cari cinta seorang isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUFIAN SUHAIMI

“SAYA sudah bersedia untuk berkahwin, calon saja yang belum kunjung tiba,” kata Sufian Suhaimi sebaik sahaja bercakap tentang jodoh.

Ungkapan sedemikian sudah cukup menceritakan situasi hatinya sudah bersedia untuk terisi dengan rasa cinta daripada seorang wanita bergelar isteri.

Seperti sahabat baiknya, Haqiem Rusli yang sudah bergelar suami orang, Sufian juga begitu.

Mudah kata, Sufian bersedia untuk menukar status bujang menjadi pemimpin keluarga.

BIARPUN sudah bersedia untuk menerima cinta baharu, Sufian tetap enggan terburu-buru dalam perjalanan mencari calon isteri. – Foto ihsan Aries Music Sdn. Bhd.

Enggan terburu-buru

Biarpun belum bertemu calon isteri, jejaka yang terkenal menerusi lagu Di Matamu itu mengakui mengimpikan pasangan yang serasi dan paling penting mendapat restu daripada ibu bapanya.

“Sebenarnya saya sudah lama bersiap sedia. Kalau ada jodoh, dapat restu ibu bapa, mengapa untuk tidak teruskan.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasangan, penyanyi berusia 29 tahun itu memberitahu, dirinya sudah bersedia untuk memegang tanggungjawab sebagai seorang suami, namun enggan terlalu terburu-buru.

“Keinginan untuk berumah tangga memang ada dan fitrah manusia, tentunya ingin hidup berpasangan. Namun, saya enggan mahu terlalu terburu-buru,” katanya lagi.

Pernah menjalinkan hubungan cinta dengan selebriti sebelum ini, anak kelahiran Johor itu tidak melihat status sebagai kriteria untuk bakal pasangannya.

“Saya tidak kisah jika bakal isteri bukan seorang artis. Kalau sudah sehati dan sejiwa, kita teruskan. Saya mahu seseorang yang akan bersama saya nanti, wujud rasa bahagia.

“Kami berasa tak terbeban dan saling melengkapi antara satu sama lain. Itu juga sudah memadai,” ujarnya

INGIN meneruskan momentum lagu Di Matamu dan Terakhir, Sufian yang pernah digosipkan dengan Jasmine Suraya itu akan memulakan tahun 2022 dengan melancarkan sebuah single baharu genre balada.

Melihat beberapa rakannya yang sudah berumah tangga termasuklah rakan artis, Haqiem Rusli, Sufian menumpang bahagia atas rezeki yang diterima sahabatnya itu.

“Tuhan itu sangat adil dan Dia pastikan akan memberikan rezeki yang seimbang buat hamba-Nya.

“Ada orang dikurniakan rezeki bertemu jodoh awal, ada orang dikurniakan rezeki kerjaya, kawan-kawan dan keluarga yang baik.

“Saya tumpang gembira melihat seorang demi seorang sahabat seindustri telah bertemu jodoh dan menamatkan zaman bujang. Itu rezeki mereka, saya percaya setiap daripada kita ada rezeki tersendiri yang Tuhan telah tetapkan,” katanya.

Tidak menepis dakwaan mengatakan dia seorang lelaki yang suka bersendiri, Sufian mengakui selesa dengan kehidupannya ketika ini.

“Saya seorang yang suka bersendiri. Duduk jauh dengan keluarga, saya di rumah pun seorang tetapi bersyukur kerana kawan-kawan industri sentiasa ada untuk membantu.

“Walaupun seorang diri, saya tidak kesunyian pun. Gembira dengan apa yang sedang saya buat sekarang, rutin saya hanya bekerja.

“Luaran solo namun realitinya saya sangat gembira dengan kehidupan sekarang yang seimbang dan mempunya masa berkualiti bersama keluarga, kawan-kawan dan kerjaya,” tuturnya kepada HiBGlam.

Ditanya mengenai ciri-ciri wanita impian untuk dijadikan isteri, dia tidak meletakkan penanda aras yang terlalu tinggi.

Baginya, cukup jika wanita itu sedap mata memandang dan hati terasa tidak terbeban serta saling melengkapi antara satu sama lain.

“Apapun jangan risau, jika hati sudah dimiliki, saya tidak akan berahsia dan akan berkongsi kepada umum,” ujarnya lagi.

SELAIN single baharu, Sufian kini dalam perancangan untuk melancarkan produk baharu iaitu bantal zikir daripada jenama sendiri, Baby Pian yang turut bekerjasama dengan pasangan popular Neelofa dan Harris Ismail.

Buah tangan baharu

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Sufian bakal mengeluarkan sebuah lagi single bergenre balada pada tahun depan.

Tambahnya, 2022 akan menjadi tahun agresif buatnya bagi mengembangkan lagi kerjaya seni dalam pelbagai cabang.

“Insya-Allah tahun depan akan dimulakan dengan sebuah lagi lagu baharu yang saya sudah ‘peram’ selama setahun lebih.

“Lagu tersebut akan mempunyai bunyi seperti Di Matamu dan Terakhir.

“Sudah lama rasanya tak ada single balada yang seumpama dua buah lagu sebelum ini.Jadi tahun depan akan menyaksikan usaha berganda dan agresif dari soal penghasilan lagu,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI