SAINS ada di sekeliling kita, sama ada di rumah, alam sekitar dan di dalam tubuh kita sendiri.
Oleh itu, ada banyak sebab mengapa kita patut mengasah ‘literasi sains’ anak-anak. Bukan sekadar subjek di sekolah, impak positif sains ke atas pembangunan kanak-kanak tidak terhitung nilainya.
Ingin mencetus minat terhadap sains dalam diri anak-anak? Anda boleh melakukannya menerusi lima kaedah mudah dan menyeronokkan ini yang dikongsikan oleh syarikat sains global, 3M.
Pertama, terokai soalan dikemukakan anak anda dan cari jawapan bersama. Ini kerana, peluang terbaik untuk belajar tentang sesuatu yang baharu adalah menerusi soalan yang diajukan mereka. Jika anda tidak pasti jawapan kepada soalan tersebut, jadikan ia satu peluang untuk belajar sesuatu yang baharu. Temukan jawapan bersama dengan anak anda. Kunjungi perpustakaan terdekat atau baca artikel yang terdapat dalam talian.
Pada zaman internet ini di mana pelbagai jenis ilmu boleh didapati secara meluas adalah penting untuk kita bersikap lebih arif. Pastikan anda merujuk sumber-sumber yang boleh dipercayai dan sahih serta manfaatkan penyemak fakta dalam talian seperti Google’s Fact Check Tools dan FactCheck.org untuk memastikan anda tidak membaca berita palsu.
Kaedah kedua ialah luangkan masa bersama alam semula jadi. Apakah ada cara yang lebih baik di dunia ini untuk mengetahui ‘bagaimana dan mengapa’ daripada memerhati alam semula jadi?
Semasa kecil, Ketua 3M Malaysia, GT Lim telah melalui kehidupan yang serba sederhana dekat dengan alam semula jadi. Mengambil air dari perigi, menggunakan lampu minyak sebagai sumber cahaya dan mengumpul kayu api untuk memasak telah mencungkil minat dan apresiasi beliau terhadap sains.
Namun, kanak-kanak kini tidak perlu menjalani kehidupan seumpama itu untuk mengamati alam semula jadi. Bawa sahaja anak bersiar di tapak rizab semula jadi dan zoo untuk meneroka hidupan liar atau berkhemah untuk mengalami keajaiban bumi.
Ketiga, gunakan mainan DIY (Do It Yourself). Meskipun teknologi merupakan alat yang sangat berguna untuk mempelajari sains, tidak salah jika kita mengetepikan penggunaannya sekali sekala.
Galakkan anak anda untuk mencipta mainan mereka sendiri menggunakan apa yang terdapat di sekeliling mereka.
Selain berupaya untuk menyerap lebih banyak ilmu, pelajar juga boleh menjalinkan ‘hubungan’ dengan subjek secara lebih baik, memahami lebih mendalam mengenai sesuatu subjek dan mencapai prestasi yang lebih baik dalam peperiksaan.
Kaedah seterusnya kunjungi muzium dan pameran sains secara virtual atau fizikal. Bawa anak anda bersiar pada hujung minggu atau musim cuti sekolah untuk meneroka sains. Ia juga menjadi peluang yang baik untuk belajar dan meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.
Terdapat banyak muzium dan organisasi sains yang menganjurkan pelbagai jenis pameran, lawatan atau bengkel dalam talian di mana anda dan anak anda boleh sertai.
Tontoni pertunjukan sains dan lihat bagaimana keajaiban sains.
Sekiranya mereka kerap menghadap tablet atau televisyen, gunakan pendekatan pembelajaran auditori-visual mereka sebagai satu kelebihan dengan memperkenalkan video-video sains yang terdapat di saluran YouTube. Di segmen Learning Bytes yang terdapat di laman web Petrosains, pasti ada sesuatu yang sesuai untuk anak anda.
Kaedah terakhir ialah lakukan aktiviti praktikal. Ambil kesempatan dengan sifat ingin tahu dalam diri anak anda dengan menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti yang praktikal.
Cuba lakukan eksperimen sains bersama anak anda di rumah dengan merujuk laman sesawang Science At Home.
Antaranya ialah cipta roket kertas atau belajar menghasilkan efek bunga api yang menarik daripada barangan yang ada di rumah.
Dengan menggalakkan anak anda untuk mencintai sains, ia dapat membuka sebuah pengembaraan yang menyeronokkan lagi menguntungkan buat mereka. Berbekalkan lima tip ini diharapkan para pembaca dapat menimba inspirasi untuk mencungkil sisi saintis dalam diri anak-anak.