PETALING JAYA- Secara kebiasaan purata harga perlu dibayar seseorang apabila berbelanja bahan basah seperti ikan siakap, tilapia dan udang mungkin mencecah puluhan ringgit.
Bagaimanapun, berbeza apa ditawarkan seorang peniaga di Kampung Air Puteh Dalam, Taman Bidara, Pendang di Kedah apabila hanya menjual set barangan basah itu pada harga RM15.
Menariknya, set itu bukan sahaja mengandungi dua ekor ikan siakap malah menawarkan dua ekor ikan tilapia, lima ekor ikan kembung, sepinggan udang, seikat kangkung serta sepinggan tauge.
Selain itu, peniaga berkenaan turut menawarkan beberapa set lain antaranya berharga RM5, RM10, RM15, RM20 dan RM30 mengikut barangan ditawarkan.
Bagi set RM5, barangan basah ditawarkan mengandungi mi kuning, udang, bebola ikan, taugeh serta daun kucai manakala set RM10 pula menawarkan ikan serta aneka sayuran.
Harga murah ditawarkan peniaga itu menyebabkan ramai pengguna media sosial berasa terkejut dan mendoakan agar dia dimurahkan rezeki setiap masa.
“Murahnya, Alhamdulillah, semoga yang menjual barang basah ini sentiasa dikurniakan rezeki melimpah ruah,” doa Jeffie Reen N Jaimie.
“Allahuakhbar, murahnya, moga bertambah rezeki peniaga berkenaan,” jelas Qha Deeja.
“Ya Allah murah sangat dekat sana, jauh beza dengan Terangganu, untung penduduk Pendang,” jelas Anisah Osman. – K! ONLINE