KUALA LUMPUR- Polis melupuskan sebanyak 513 barang kes bernilai RM150,000 yang selesai dibicarakan dan telah diputuskan untuk dilupuskan oleh mahkamah dekat Taman Usahawan Kepong, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua barang rampasan yang dilupuskan melibatkan 37 kertas siasatan yang dibuka sejak 1 Julai lalu.
“Barang kes yang dimusnahkan terdiri daripada 23 barang kes perjudian, tiga barang kes di bawah Akta Hiburan, satu barang kes di bawah Akta Kastam 1967 dan 10 barang kes am.
“Nilai keseluruhan barang rampasan kes yang dilupuskan berjumlah RM150,000 dikira rendah berbanding sebelum ini kerana hasil rampasan itu daripada 3 bulan lalu,” katanya ketika sidang akhbar dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.
Tambah beliau, pelupusan barang kes itu dilaksanakan mengikut Seksyen 402 (2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593). – K! ONLINE