TANJUNG MALIM – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pelancaran Sambutan 100 Tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md. Amin Md. Taff.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan melawat pameran berkaitan sejarah dan pencapaian UPSI sebelum menyempurnakan lafaz dan gimik pelancaran majlis berkenaan.
Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata, seiring dengan kematangan UPSI yang telah mencapai 100 tahun, gedung ilmu itu melangkah pantas membina kecemerlangan sekali gus memberi saingan hebat kepada universiti ternama lain.
Menurut beliau, dengan penuh karisma, UPSI menyambung legasi, mengukir keunggulan dan giat membina kemasyuran di pentas nasional serta antarabangsa.
“Ternyata UPSI mempunyai keupayaan tersendiri dan idealisme warganya yang bijaksana dalam menguruskan sebuah universiti pendidikan tersohor negara.
“Banyak kejayaan yang dicapai telah melonjakkan nama UPSI antaranya Times Higher Education (THE) telah mengikhtiraf UPSI sebagai universiti kelapan terbaik negara dan di kedudukan 801 dunia dalam World University Rankings 2022,” katanya.
UPSI yang ditubuhkan pada 29 November 1922 pada mulanya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) sebelum dinaik taraf 35 tahun kemudian menjadi Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).
Ia dinaik taraf kepada UPSI pada 1 Mei 1997 dengan memiliki tiga buah kampus utama di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim, Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City dan Kampus Teluk Intan. – K! ONLINE