fbpx

19,719 aduan bangunan strata berjaya diselesaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19,719 atau 99.04 peratus aduan penghuni bangunan strata di seluruh Semenanjung Malaysia telah berjaya diselesaikan Pesuruhjaya Bangunan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, keseluruhan aduan yang diterima oleh 67 Pesuruhjaya Bangunan sepanjang tahun 2020 adalah sebanyak 19,911.

“Antara aduan tersebut melibatkan isu penyelenggaraan, kerosakan bangunan, mesyuarat dan pemilihan badan pengurusan serta isu kewangan.

“Baki aduan setakat ini, sebanyak 192 atau 0.96 peratus yang masih dalam peringkat penyelesaian,” katanya ketika menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung kedudukan aduan penghuni kondominium dan pangsapuri yang berjaya diselesaikan atau tidak di Dewan Rakyat di sini semalam.

Mengulas lanjut, lima negeri yang mencatatkan jumlah aduan tertinggi ialah Selangor (9,185) Wilayah Persekutuan (5,362), Johor (2,215), Pulau Pinang (2,149) dan Negeri Sembilan(274).

“Penguatkuasaan dan kawal selia skim strata seperti kondominium, pangsapuri adalah di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) seperti tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Penguatkuasaan dan kawal selia tersebut dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Bangunan yang dilantik oleh PBN berkenaan bagi sesuatu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI