SEPANG – Penerbangan pertama bagi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melibatkan 240 penumpang dari Singapura tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 9.20 pagi hari ini.
Kesemua penumpang tersebut tiba menerusi pesawat Singapore Airlines (SQ108) hari ini selepas pelaksanaan VTL melibatkan sektor darat dan udara.
Ketibaan mereka disambut oleh Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd. Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Pelancongan, Datuk Zainuddin Abdul Wahab.
Sebaik tiba, kesemua penumpang tersebut perlu menjalani saringan terlebih dahulu serta menunggu keputusan sebelum dibenarkan keluar dan tidak perlu menjalani kuarantin selepas ujian negatif. – K! ONLINE