Oleh ROHANA MOHD. NAWI
MACHANG – Kerja-kerja baik pulih paip air mentah jenis GRP yang mengalami kebocoran besar di Pulai Chondong di sini sedang giat dijalankan dan dijangka akan siap sepenunya lusa.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kerjaraya, Utiliti dan Pengangkutan, Datuk Azami Mohd Nor, kejadian paip bocor yang bermula Khamis lalu itu mengakibatkan bekalan lebih 100,000 pengguna dan 21,000 akaun di jajahan Kota Bharu, Machang dan Pasir Puteh terjejas.
Katanya, kerja-kerja pembaikian sedang giat dilakukan agar seluruh penduduk di tiga buah jajahan itu boleh menikmati air bersih selepas ini.
“Setakat hari ini, kerja pembaikian berjalan lancar dan kebocoran paip dikesan berada pada kedalaman enam meter dari paras permukaan jalan.
“Bagi memastikan bekalan air kepada pengguna di tiga jajahan ini mencukupi, kita menyediakan 10 lori tangki untuk menghantar air ke kawasan yang menempatkan tangki statik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau gerak kerja baik pulih paip air di Pulai Chondong di sini hari ini.
Akhbar Kosmo! Jumaat lalu melaporkan, pihak pengurusan Air Kelantan Sdn.Bhd (AKSB) menjangkakan kerja-kerja pembaikian akan siap sepenuhmya dalam tempoh tiga hari melibatkan 32,018 akaun di tiga jajahan di negeri ini.
Kerja-kerja baik pulih paip mentah jenis GRP bersaiz 1,100 mililiter itu sedang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik ekoran kebocoran besar selain faktor kedalaman paip yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong diberhentikan.
Mengulas lanjut, Azami berkata, dalam usaha untuk menjaga kebajikan seluruh pengguna, pihaknya meminta bantuan lori tangki dari air Terengganu, Perak, Selangor dan Johor untuk melakukan kerja penghantaran air ke kawasan terjejas.
Menurutnya, penghantaran air ke rumah tidak akan dilakukan dan penduduk yang memerlukan air untuk kegunaan harian boleh mengambil sendiri di tangki statik yang disediakan. – K! ONLINE