STESEN televisyen berbayar popular, Astro menerusi Astro Warna bakal tampil dengan sebuah program terbaharu, Mencari Sepahtu Yang Hilang (MSYH) bermula 2 Disember nanti.
Bagaimanapun, wujud kekeliruan, adakah konsep program tersebut bulat-buat sekadar program ‘copy paste’ Maharaja Lawak Mega (MLM) yang sememangnya mempunyai pengaruh besar dalam kalangan penonton.
Pengurus Saluran Astro Warna, Norheza Mohd. Salleh dalam sidang media MSYH berkata, pihak mereka tidak menolak sekiranya program baharu yang bakal disajikan nanti mempunyai persamaan dengan program lawak sebelumnya.
Jelas Norzeha, MSYH tetap mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri. Konsepnya juga sedikit berbeza berbanding program lawak terdahulu.
“Kalau bandingkan dari segi konsep, MSYH mempunyai perbezaan kerana kita wujudkan mentor dan bukan juri semata-mata.
“Kita sediakan beberapa mentor yang berpengalaman dalam industri. Ada yang sudah lebih 14 hingga 15 tahun berkecimpung dalam bidang komedi.
“Paling penting, mentor itu masih aktif dan dianggap relevan dalam industri. Kita ada sifu dan mentor yang akan membentuk bakat-bakat pelapis ini.
“Mungkin tak dapat capai 100 peratus peserta yang betul-betul berbakat, tetapi jika 70 peratus memperlihatkan peningkatan dari aspek potensi, itu satu perkara yang baik,” katanya.
Tambah Norzeha, pihaknya juga sudah menyusun perancangan untuk menjadikan bakat-bakat baru dalam bidang komedi ini sebagai pelapis dalam industri mengikut potensi dan kecemerlangan yang ada pada diri masing-masing.
Pelapis
“Kita memang ada beberapa perancangan. Seorang daripada peserta yang berpotensi untuk beraksi pada final Sepahtu Reunion Live nanti.
“Apa yang penting, kami sebenarnya fokus terhadap usaha mencari wajah-wajah baharu yang lebih segar dalam industri komedi, selain dapat memeriahkan industri seni hiburan, ”katanya.
Program MSYH juga bertindak sebagai sebuah program pencarian bakat komedi baharu terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
Program berkenaan akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dan menemui peminat pada setiap Khamis, pukul 9 malam menerusi saluran 107.
Sejak pencarian bakat secara atas talian bermula dari 1 Jun hingga 31 Ogos lalu, sebanyak hampir 1,000 penyertaan solo dan berkumpulan (tidak melebihi tiga orang untuk setiap kumpulan) uji bakat telah diterima untuk menyertai MSYH.
Menariknya, penyertaan tersebut disaring dan diadili oleh kumpulan Sepahtu sendiri bersama barisan produksi.
Seramai 12 kumpulan peserta dari penyertaan solo, duo dan trio kemudiannya telah dipilih untuk menyertai program terbaharu.
Para peserta terdiri daripada Yusra (solo), Muslim (solo), Arteh, Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (trio).
Menariknya, Sepahtu juga akan memilih pemenang solo dari barisan finalis dan mengumumkan individu tersebut sebagai ahli terbaru kumpulan tersebut nanti.
Ahli kumpulan Sepahtu Jep, Rahim dan Pak Ya pula menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bagi program ini.
Juara MSYH akan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM30,000 beserta trofi, manakala Naib Juara bakal membawa pulang RM15,000.
Tempat ketiga pula akan menerima wang tunai RM9,000, keempat sebanyak RM6,000 dan kelima RM3,000, beserta trofi sumbangan Astro.