fbpx

Messi bakal kecewakan Lewandowski

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI berjaya membantu Argentina merangkul Copa America Julai lalu sekali gus menjadi merit buatnya untuk merangkul Anugerah Ballon d’Or kali ini. – AFP

PARIS – Bekas penyerang antarabangsa Perancis, Thierry Henry optimis bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi akan meraih Anugerah Ballon d’Or 2021 yang akan dilangsungkan di Paris pada tengah malam ini.

Sebagai rekod, majlis penyerahan trofi berprestij untuk pemain terbaik bola sepak dunia kembali dianjurkan selepas edisi 2020 dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Difahamkan, Messi bakal menjadi pilihan utama untuk menggondol trofi ‘bola emas’ itu buat kali ketujuh dalam kariernya selepas dipercayai mendapat undian lebih tinggi berbanding pencabar terdekat yang juga penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski (Lewy).

Kata Henry, Messi lebih layak untuk ditabalkan sebagai juara berdasarkan prestasi memukau ketika membantu negaranya, Argentina menamatkan kemarau 28 tahun tanpa trofi antarabangsa dengan menjuarai Copa America 2021, Julai lepas.

“Saya rasa Messi akan memenangi Anugerah Ballon d’Or buat kali ketujuh dan situasi itu jelas kerana dia masih konsisten dan kekal di puncak prestasi apabila membantu Argentina menjuarai trofi Copa America sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pertahanan antarabangsa England, Jamie Carragher pula lebih berminat untuk melihat Lewandowski diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia buat pertama kali dalam kariernya selepas mempamerkan sentuhan penyudah terbaik sepanjang dua tahun lalu.

“Jika dilihat rekod dan statistik, tiada pemain yang lebih baik berbanding Lewandowski sejak dua tahun lalu kerana dia memenangi pelbagai trofi bersama Ba­yern selain menjaring banyak gol.

“Kalau Messi yang menang, mungkin disebabkan siapa sahaja yang melakukan undian memiliki sentimen bahawa dia layak untuk menang Ballon d’Or kerana menamatkan penantian trofi bersama Argentina meskipun ketika bersama Barcelona, dia tidak berada pada prestasi terbaik,” katanya.

Selain Lewy, Messi yang kini mewakili Paris Saint-Germain (PSG) turut menerima tentangan sengit dengan penye­rang Real Madrid, Karim Benzema, Jorginho (Chelsea) dan Cristiano Ronaldo (Manchester United). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI