LONDON – Pelumba Repsol Honda, Pol Espargaro menggesa pasukannya membangunkan jentera yang lebih hebat memandangkan banyak pasukan resah dengan kepantasan yang dipamerkan Ducati musim ini.
Bukan sahaja Espargaro yang bimbang dengan kemampuan Ducati, malah juara dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo (Yamaha) turut tidak senang duduk dengan keadaan tersebut selain berulang kali menyeru agar Yamaha meningkatkan kuasa pada jentera YZR M1 sekiranya ingin menandingi pasukan Ducati.
Pada musim depan, Ducati bakal menurunkan lapan jentera Desmosedici menerusi empat pasukan berbeza.
Pasukan Ducati Lenovo Team mengekalkan Jack Miller dan Francesco Bagnaia sementara Enea Bastianini serta Fabio Di Giannantonio akan membawa cabaran pasukan Gresini Racing MotoGP.
Dalam pada itu, Johann Zarco dan Jorge Martin akan terus bersama Pramac Racing sementara pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi iaitu VR46 Racing Team turut akan menggunakan jentera Ducati menerusi dua pelumba mudanya iaitu Luca Marini dan Marco Bezzecchi.
“Semua pasukan tahu Ducati akan memiliki banyak jentera di grid perlumbaan tahun depan. Jadi, sekiranya kami (Honda) ingin berdepan dengan Ducati, kami perlu memiliki jentera yang pantas untuk mengatasi pasukan Itali itu.
“Kami memerlukan mesin yang benar-benar laju, namun ketika ini keadaan jentera Honda sangat baik tetapi hanya perlu sedikit kuasa tambahan,” kata Espargaro.
Pol mengakui perkembangan jentera baharu Honda yang mereka uji baru-baru ini menunjukkan perubahan terutama cengkaman pada bahagian belakang dan mengembalikan keseimbangan jentera.
Bagaimanapun, Espargaro berharap RC213V terus ditingkatkan sebelum memulakan misi 2022 nanti. – AGENSI