SETIU – Demam panas yang dialami sewaktu bayi menyebabkan Roslan Ramli, 37, mengalami kerosakan saraf sehingga dia lumpuh seluruh badan sehingga kini.
Selain terlantar, anak sulung daripada lapan beradik itu juga tidak boleh bercakap dan hanya mampu mengesot badannya untuk bergerak.
Urusan seharian untuk menguruskan diri seperti mandi, makan, menukar pakaian dan membuang air kecil serta besar diuruskan sepenuhnya oleh ibunya, Norsiah Awang.
Begitupun, semuanya berubah selepas Norsiah meninggal dunia akibat tekanan darah rendah kira-kira sembilan bulan lalu.
Adik Roslan, Nur Asa Suhada Ramli, 29, berkata, dia dan adik-beradiknya kini yang mengambil alih tugas menjaga abang sulung mereka.
“Pada waktu siang, abang saya lebih gemar berbaring di halaman rumah untuk mengambil angin.
“Kami turutkan kemahuannya kerana sebelum ini perkara itu juga yang telah dilakukan arwah ibu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Guntung Dalam, Permaisuri di sini baru-baru ini.
Nur Asa Suhada berkata, mereka tidak mampu menyediakan kerusi roda bagi kemudahan Roslan bergerak.
Jelas suri rumah itu, ketiadaan kerusi roda itu menyebabkan mereka adik-beradik bergilir-gilir memapah Roslan untuk membantunya melakukan aktiviti harian seperti mandi.
Katanya, mereka tidak mampu membeli kerusi roda kerana bapa, Ramli Deraman, 61, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM900 sebulan.
“Kami adik-beradik yang kebanyakannya bekerja kampung dan berpendapatan kecil juga hanya mampu membantu mengikut kemampuan,” ujarnya.
Nur Asa Suhada berkata, Roslan menerima bantuan bulanan RM250 dan lampin pakai buang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ujarnya, keperluan lain seperti susu khas dan tambahan lampin pakai buang pula ditampung dengan pendapatan bapanya dan sumbangan adik-beradik.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Nur Asa Suhada bernombor 1140-0410-0009-0843 atau menghubunginya di talian 019-5584 317. -K! ONLINE