KALA melayari Internet baru-baru ini, penulis terserempak dengan satu artikel berbunyi ‘They are just like us’: spotlight on white-skin obsession in Indonesia di portal South China Morning Post.
Rupa-rupanya baru-baru ini Presiden Indonesia, Joko Widodo menegur rakyat Indonesia yang dilihat masih menebal dengan inlander mentality (mentaliti terjajah) yang mana memandang tinggi bangsa kulit putih sehingga memandang rendah bangsa sendiri.
“Saya tidak mahu mentaliti rendah diri dan mentaliti terjajah ini terus menguasai mentaliti bangsa kita. Nampak sahaja bule (warga asing kulit putih) seperti bertemu dengan seorang yang sangat penting. Ini menyedihkan kita.
“Kita terlalu mendongak kepada mereka sedangkan kita sama sahaja,” ucap Jokowi pada majlis ulang tahun ke-10 Parti Nasional Demokrat dua minggu lalu. Tegurannya menjadi antara topik hangat dan dilaporkan di media-media di Indonesia sejak beberapa minggu lalu.
Jokowi berkata, ramai rakyat Indonesia yang memiliki mentaliti tersebut biarpun negara yang pernah dijajah Belanda itu sudah 76 tahun merdeka.
“Saya juga sedar kita telah dijajah selama 350 tahun. Mungkinkah disebabkan dijajah dalam tempoh panjang itu telah menjadikan kita memiliki DNA mentaliti terjajah itu. Mentaliti itu jangan gak ilang-ilang sampai sekarang. Mentaliti itu perlu ditamatkan,” kata Jokowi.
Mendengar kata-kata itu, penulis menyedari bahawa ‘penyakit’ mentaliti itu juga mirip dengan rakyat Malaysia. Biarpun dalam konteks di Indonesia itu dilihat lebih menjurus kepada kelakuan masyarakat mereka yang takjub setiap kali bertemu pelancong kulit putih, mentaliti itu juga boleh dibawa kepada skop yang lebih luas seperti memandang tinggi produk luar terutama Barat bak kata pakar sosiologi, Devie Rahmawati dari Universiti Indonesia.
“Ramai antara mereka berbangga jika miliki pasangan orang putih dan jika suatu produk itu buatan luar negara, mereka menjadi begitu obses,” katanya.
Di Malaysia juga lebih kurang sama. Memang ramai menanam doktrin di minda bahawa apa sahaja termasuk produk atau karya dari Barat lebih bermutu tinggi, berkelas dan lebih meyakinkan.
Karya atau produk tempatan lazim dipandang sepi sehingga Kempen Beli Barangan Malaysia dilancarkan sejak tahun 1984. Minda kita juga sudah terasuh hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2019 juga pernah mendedahkan satu kajian bahawa 60 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa barangan Malaysia adalah rendah kualiti berbanding barangan import.
Pun begitu, penulis merasakan mentaliti itu kini sedikit terhakis yang banyak dimainkan peranannya oleh pandemik. Kebanyakan kita semakin sedar, menghargai dan menerokai apa yang ada dalam negara sendiri termasuk produk dan lokasi percutian. Semakin banyak juga sokongan diberikan kepada bisnes tempatan dalam mengharungi pandemik Covid-19.
Semoga kita semua terus optimis dengan kekuatan bangsa sendiri untuk bersaing di persada global. -K! ONLINE