ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2022 yang menggariskan empat teras dan meneruskan 12 agenda utama khususnya dalam mendepani kesan pandemik Covid-19.
Belanjawan berjumlah RM1.958 bilion yang bertemakan ‘Memperhebat Kesejahteraan Johor’ itu bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat negeri itu yang terjejas akibat Covid-19 terus terbela.
Perkembangan itu sekaligus mengetepikan spekulasi berhubung sidang DUN kali ini yang dikatakan menjadi perhatian berikutan peringatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan ‘tekan butang’ yang mampu menyebabkan kerajaan Johor tumbang.
Peringatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu selepas veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu), Amanah (6) dan PKR (7).
Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor adalah 29 kerusi.
Hasni pada 18 November lalu mengumumkan belanjawan defisit sebanyak RM286.47 juta yang menyaksikan kali kedua berhadapan perkara itu selepas merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut sebelum ini.
Hasni ketika membentangkan belanjawan itu berkata, unjuran hasil negeri untuk 2022 adalah sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.958 bilion.-K! ONLINE