KUALA NERANG – Seramai 74,472 pelajar yang memohon masuk ke tingkatan 1 dan 4 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2022 boleh menyemak kelayakan untuk menduduki ujian khas sebelum dipilih memasuki sekolah tersebut bermula esok.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerima sebanyak 57,122 permohonan ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 MRSM.
Katanya, pelajar akan dipanggil untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal secara berperingkat bermula 3 Disember ini hingga 30 Januari tahun hadapan.
“Semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh dibuat secara dalam talian bermula pukul 10 pagi, 29 November ini melalui portal rasmi Mara.
“Pemohon akan menerima notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel yang telah didaftarkan semasa permohonan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, ujian khas itu akan bermula pada 3 Disember ini bagi calon yang berada di Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu manakala bagi calon dari negeri lain akan bermula pada 4 Disember ini.
“Kesemua calon yang terlibat akan menduduki ujian khas itu di 61 pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 MRSM di seluruh negara selain lapan Institusi Pendidikan Mara di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan,” ujarnya. – K! ONLINE