SHAH ALAM – Seorang pemandu lelaki yang dipercayai merampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya di Kilometer 14.6 Lebuh Raya Persekutuan di sini, semalam direman selama sehari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kebenaran reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
“Mahkamah mengambil kira faktor usia suspek yang perlu menjaga isterinya yang sakit stroke (angin ahmar).
“Reman ke atas lelaki berkenaan dibenarkan hanya sehari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan insiden pukul 1.33 petang itu tular di media sosial menerusi video yang memaparkan lelaki berusia 56 tahun berkenaan meminta wanita tersebut supaya menyerahkan kad pengenalan. -K! ONLINE