KUALA SELANGOR – Satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tumpas dalam tempoh sejam menerusi dua serbuan berasingan sekitar Tanjong Karang di sini, semalam.
Dalam kejadian bermula pukul 4 pagi itu berjaya menahan seorang tekong dan dua transporter masing-masing lelaki berusia 34 dan 37 tahun.
Turut ditangkap adalah 79 PATI termasuk di sebuah premis kediaman yang dijadikan transit kepada warga asing yang baharu tiba di negara ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya terlebih dahulu berjaya mengesan dan menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak Batu 8 dengan pemeriksaan terdapat lima lelaki.
Katanya, dua daripadanya merupakan transporter dan selebihnya PATI.
“Soal-siasat membawa kepada serbuan di premis kediaman yang dipercayai rumah transit di Kampung Sungai Terap dengan menahan seorang lelaki yang bertindak sebagai tekong bersama sebuah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui 69 lelaki dan tujuh wanita berusia 16 dan 23 tahun yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini. -K! ONLINE