fbpx

Saya tak kisah tiada masa dengannya – Alyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi Alyah mendedahkan kurang waktu bersama suami (Ramli MS) setiap kali Gegar Vaganza mula bersiaran.

PETALING JAYA – Penyanyi Datin Alyah mengakui ruang masanya bersama suami, Datuk Ramli MS atau Tok Ram menjadi terhad setiap kali tibanya program Gegar Vaganza (GV).

Alyah bagaimanapun memberitahu, dia langsung tidak terasa hati kerana sudah terbiasa dengan situasi berkenaan memandangkan program realiti popular tersebut sudah pun berjalan hampir sedekad.

“Jujurnya tiap kali tiba GV, memang rutin seharian kami jadi janggal dan jauh berbeza. Nak makan bersama di luar pun jarang sekali dan boleh dikira dengan jari.

“Tok Ram agak padat jadualnya sebab bermula Selasa, dia akan sibuk untuk persiapan konsert minggu seterusnya. Tidak mengapalah, saya sedia maklum dan faham dengan situasi begitu,” katanya.

Alyah berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai perjanjian antaranya dengan syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan wanita, Kamya Glow baru-baru ini.

Sesi tersebut dilihat sebagai satu langkah mengembangkan kolaborasi perniagaan Alyah bersama Kamya Glow dalam segmen kecantikan dan kesihatan.

Dalam pada itu, Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan terharu apabila lagu Thank You Allah kekal menjadi pilihan pendengar pelbagai peringkat usia hingga kini.

“Rasa bersyukur sangatlah. Mana tidaknya pada usia sudah 40 tahun begini, kanak-kanak sampailah orang dewasa sukakan lagu kerohanian seperti itu.

“Ada yang kongsi dalam media sosial dan sebagainya. Terkejut dan tak sangka juga saya penerimaan lagu tersebut sampai begitu sekali,” katanya yang bakal melancarkan single terbaharu awal tahun hadapan.

Terdahulu, Alyah dan Tok Ram bernikah pada 18 Mac 2013 di Indonesia tetapi merahsiakan perkahwinan mereka selama setahun setengah sebelum diketahui media.

Hasil perkahwinan selama lapan tahun, mereka masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI