PUTRAJAYA – Pengurangan sebanyak 87.7 peratus bagi harga RTK antigen kendiri yang kini boleh diperolehi serendah RM4.90 berbanding harga asal RM39.90 sewaktu mula dijual di pasaran antara kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).
Dalam tempoh kurang dua bulan, harga RTK antigen merekodkan penurunan dua kali sejak harga siling dikuatkuasakan September lalu iaitu selepas rundingan dan kerjasama antara KPDNHEP serta pengusaha peniagaan.
Menurut kenyataan KPDNHEP, kejayaan tersebut selaras AKM yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan merupakan satu daripada tiga indeks petunjuk prestasi (KPI) kementerian berkenaan.
“Selari usaha ke arah membuka lebih banyak sektor ekonomi, kerajaan menggalakkan saringan kendiri dalam kalangan komuniti. Beberapa langkah strategik, termasuk memperluaskan penjualan kit (RTK) antigen kepada rangkaian premis peruncitan dan penetapan harga siling telah dilaksanakan.
“Penetapan harga siling RTK antigen pada paras RM19.90 seunit pada asalnya dijadual berkuat kuasa 5 September, namun mendengar keluhan peniaga yang sudah membuat perolehan dengan harga bekalan berkadar tinggi secara lebih awal, kerajaan bersetuju memberi tempoh lanjutan penguatkuasaan selama seminggu.
“Cakna dengan keluhan pengguna terutama dalam kalangan B40 dan M40, kerajaan menerusi KPDNHEP bertekad untuk melipat gandakan usaha supaya harga RTK antigen ini dikurangkan lagi dan mampu dimiliki oleh semua ahli Keluarga Malaysia,” menurut kenyataan tersebut di sini hari ini. -K! ONLINE