JAKARTA – Sebuah video yang memaparkan anggota tentera Tentera Nasional Indonesia (TNI) bertumbuk dengan seorang anggota polis trafik (polantas) di Kota Ambon, Maluku, menjadi tular di media sosial, lapor laman berita Detik.com kelmarin.
Kedua-dua mereka bagaimanapun sudah berdamai dan saling bermaafan.
Dalam kejadian pada Selasa lalu di Jalan Rijal, Kota Ambon itu, kedua-dua anggota berpakaian seragam itu bergaduh di hadapan sebuah pondok polantas.
Akibatnya, Polis Tentera Kodam XVI/Pattimura terpaksa turun padang untuk meleraikan pergaduhan mereka.
“Masalah itu sudah diselesaikan dan mereka sudah saling memaafkan.
“Oleh itu, kes ini sudah selesai,” kata Ketua Komisioner Polis Maluku, Muhammad Roem Ohoirat.
Ia dipercayai berlaku akibat satu salah faham melibatkan keadaan lalu lintas, yang kemudiannya berjaya diselesaikan. – AGENSI