IPOH-Polis telah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang memuat naik gambar dan ulasan kononnya anggota polis gagal meleraikan pergaduhan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Flat Jalan Ashby dekat sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Laporan polis telah dibuat dan siasatan juga sedang dijalankan berhubung hantaran Facebook membabitkan kejadian itu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Kita akan panggil mereka yang memuat naik gambar dan membuat ulasan mengatakan pihak polis gagal bertindak ke atas perlakuan jenayah ketika kejadian,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Cegah Jenayah Khas Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.
Menurut Mior Farid, dakwaan anggota polis gagal bertindak awal adalah tidak benar, sebaliknya tindakan pantas mereka berjaya memberkas kesemua suspek di lokasi kejadian.
“Gambar yang tular itu diambil ketika anggota polis baharu tiba di lokasi kejadian di mana jenayah tersebut sedang berlaku.
“Kita telah bertindak cepat dan hasilnya kesemua suspek berjaya ditahan di tempat kejadian,” katanya.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga suspek yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih. -K! ONLINE