Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain teringin untuk terus membimbing pasukan itu apabila kontrak semasanya berakhir Selasa ini.
Menurut ketua jurulatih berusia 43 tahun itu, masa dua tahun bersama pasukan itu dirasakan singkat apabila misinya bersama pasukan belum tercapai.
“Saya masih menunggu tawaran daripada TFC sama ada ditawarkan kontrak lanjutan pada musim depan atau tidak. Saya mempunyai beberapa hari sahaja lagi sebelum kontrak berakhir.
“Jadi, saya tak boleh nak kongsikan persediaan untuk musim depan setelah masa depan saya masih samar bersama pasukan. Terserahlah kepada pihak pengurusan untuk menilai prestasi saya.
“Selagi TFC memerlukan khidmat saya, saya bersedia untuk kekal berada di sini. Keutamaan saya ialah untuk Terengganu, saya punya misi yang belum tercapai,” katanya.
Pada aksi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam kelmarin, TFC terkandas di pusingan separuh akhir dengan agregat 4-1 selepas tewas 3-0 pada perlawanan itu.
Biarpun tewas, pengendali kelahiran Kelantan itu tetap memuji kesungguhan anak buahnya memberikan yang terbaik ketika berdepan penyandang juara Piala Malaysia itu.
Nafuzi berkata, kealpaan pemain menyebabkan mereka melakukan kesilapan mudah dan dihukum pasukan tuan rumah.
“Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik malam ini. Walaupun mereka bermain dengan 10 pemain, bukan mudah menewaskan mereka yang banyak bermain bertahan.
“Jika Jordan Mintah dapat menjaringkan gol pada babak pertama, mungkin situasinya berbeza dan memberi tekanan kepada lawan,” ujarnya.