KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya tidak berasa terlalu selesa biarpun sudah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2021.
Skuad The City Boys memastikan tempat ke pentas final apabila menang 5-3 ke atas Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Stadium Hang Jebat awal pagi semalam.
Walaupun berjaya menafikan peluang Melaka untuk melangkah ke final buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia, namun Bojan mengakui, skuad kendaliannya menampilkan aksi kurang meyakinkan pada perlawanan itu.
“Satu perlawanan yang sangat sukar kerana kami berdepan jadual padat sebelum ini, lebih-lebih lagi KL tidak ada skuad besar seperti JDT (Johor Darul Ta’zim), Selangor dan Terengganu.
“Bagi saya, kami ada buat beberapa kesilapan serta aksi kurang baik tetapi saya tetap puji semua pemain kerana mereka bekerja keras sehingga ke hujung perlawanan walaupun sudah penat,” kata jurulatih dari Croatia itu.
Pada perlawanan tersebut, KL yang turun sebagai pasukan pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi J. Partiban sebelum Ahmad Syamim Yahya menyamakan kedudukan bagi mengikat kedudukan agregat 2-2.
Tambah Bojan, beliau tidak mahu pemain-pemain terlalu dibuai dengan kemenangan itu memandangkan mereka ada misi penting menjelang aksi final menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.
“Perasaan saya memang sangat gembira tetapi perlu diingat, kami ada satu lagi perlawanan. Perjuangan kami masih belum tamat, jadi semua pemain perlu bersedia sepenuhnya.
“Untuk aksi menentang JDT, kami tidak ada sebarang tekanan kerana akan turun sebagai pasukan bukan pilihan. Apa yang penting, kami akan cuba yang terbaik untuk dapatkan penamat menggembirakan,” ujar Bojan.