KUALA LUMPUR – Skuad projek khas lelaki kebangsaan berjaya mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India.
Kejayaan itu hadir selepas menewaskan Afrika Selatan 4-3 di Stadium Kalinga sebentar tadi sekali gus menjamin tempat sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan A bersama naib juara edisi 2016, Belgium.
Empat gol Malaysia diperoleh menerusi Muhammad Fahmi Khalid pada minit ke-29, Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin (m-41), Mohamad Shamir Rizmi Mohd. Shamsul (m-49) dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook (m-56).
Afrika Selatan pula terpaksa menerima hakikat tersingkir ke suku akhir walaupun bersaing sengit mendapatkan tiga gol menerusi dua jaringan Jared Campbell dan satu daripada Guy Morgan dalam aksi itu.
Kejayaan ke suku akhir menyaksikan skuad bimbingan Wallace Tan berjaya menebus kekecewaan lima tahun lalu apabila terkandas di peringkat kumpulan sewaktu edisi Piala Dunia Hoki Remaja 2016. – K! ONLINE