Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Muafakat Nasional (MN) sepatutnya diperkukuhkan sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 namun, kini hala tujunya masih tidak jelas.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, MN yang dibentuk oleh UMNO dan Pas kini bagaikan hilang arah tuju sebenar sebagai sebuah pakatan Melayu-Islam.
Katanya, pelawaan pihak yang bertanggungjawab dalam MN yang meminta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi anggota juga bercanggah dengan tujuan asal pakatan itu.
“Saya tak kritik sesiapa dan hanya bagi pandangan. Kelirulah… Kalau saya keliru, orang bawah macam mana? Kita nak hadapi pilihanraya mesti jelas.
“Orang bawah bosan, keliru, dan rasa sesuatu tak kena. Kalau ada orang syok sangat kepada Bersatu, dia masuk Bersatulah. Tak ada siapa nak halang. Biar dia pertahankan bersatu itu dia punya hal.
“Tetapi kita nak jaga apa yang diberitahu kepada rakyat mesti perkara yang nak dilaksanakan oleh kita, jangan cakap lain, bikin lain,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bukit Cekati di sini hari ini.
Tengku Razaleigh Hamzah juga menyatakan, kenyataannya sebelum ini yang meminta ahli UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing adalah pandangan peribadinya.
Katanya, dia tidak berniat untuk mengkritik mana-mana pemimpin mahupun parti lain, tetapi hanya memberi pandangan dalam keadaan situasi politik yang berlaku ketika ini.
“Parti kita kata sudah tidak menyertai kerajaan PN tetapi ahli-ahli UMNO masih duduk dalam kabinet yang ditubuh oleh kerajaan. Jadi, ini semuanya menimbulkan kekeliruan.
“Jadi kalau pemimpin tak setuju pandangan saya dia punya hal lah. Saya hanya bagi pandangan. Nak dengar, dengarlah… tak nak dengar sudah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan gemparnya kelmarin, apabila meminta pemimpin UMNO dalam kabinet kerajaan PN segera berundur daripada jawatan masing-masing.
Gesaan yang dibuat itu berikutan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.
Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan Bersatu dengan sendirinya menghilangkan kelayakan parti itu sebagai Pakatan Melayu Islam yang didukung MN. – K! ONLINE