fbpx

Kebiadaban Esra buatkan Emma Sofea dibenci ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMMA SOFEA

DIA baru berusia 15 tahun, namun kehadirannya cukup disedari ramai. Semuanya dek penangan watak si anak derhaka dan kurang ajar menerusi naskhah bersiri iTanggang: Mother of All Lies.

Dia dilihat antara sebagai bakat muda yang mampu menjadi pelapis buat industri hiburan negara suatu hari nanti, bukan hanya berbekalkan rupa paras menawan sebagai daya tarikan, paling utama adalah bakat lakonan yang berkesan.

Dialah Emma Sofea, sepotong nama yang masih hijau dalam lapangan dunia seni, tetapi kemunculan figura berketinggian 170 sentimeter itu meletuskan kebencian yang membuak-buak dalam kalangan penonton.

 

KEJELIKAN perangai Esra yang dipotret Emma membuatkan dia dibenci sehingga banyak babak drama iTanggang tular menerusi media sosial. – BUSANA: MAGLIFESTYLE Instagram @maglifestyleofficial

Emma berjaya melakar kebencian mendalam tentang kewujudan Esra dalam dunia i-Tanggang tetapi tentangan hebat yang diterimanya sedikitpun tidak mencetuskan kesedihan, malah dia berasa ‘bangga’ melihat impak kejahatan yang dilakukannya.

“Mula-mula saya rasa pelik dan tak selesa tapi ketika berlakon dalam naskhah pertama iaitu siri Wizard of Warna Walk, saya belajar bagaimana mengatasi kecaman.

“Sejujurnya, saya perlu lalui pengalaman sebegitu sebab kalau dikecam sekarang, mungkin saya tak tahu nak mengendalikannya dengan baik,” tuturnya ketika hadir menjayakan sesi fotografi bersama Pose baru-baru ini.

SEBAGAI rujukan mendalami watak Esra, Emma banyak menonton K-drama dan menjadikan drama fenomena The Penthouse sebagai inspirasi.

Biarpun masih bersekolah dan terlalu muda untuk berdepan soalan yang dihulurkan pada pertemuan pertama tempoh hari, Emma bijak menyusun kata, terutama ketika ditebak tentang impak watak antagonis kepada dirinya.

“Saya terima respons penonton dengan cara yang positif sebab saya sudah tinggalkan impak kepada mereka.

“Orang tengok saya, mereka nampak Esra, bukannya Emma Sofea. Maksudnya, situasi ini sangat bagus untuk saya,” ucapnya yang memasang impian membintangi naskhah berbentuk dokumentari bergenre ‘seriel killer’ suatu hari nanti.

Ironi, watak yang mengangkat nama Emma ketika ini sebenarnya merupakan milik orang lain pada awalnya. Namun atas sebab tertentu, pelakon tersebut tidak dapat menyertai pasukan i-Tanggang.

‘Bidan terjun’

Saat pengganti dicari, pihak produksi meminta Emma menghantar video uji bakat sebelum beberapa hari kemudian watak tersebut sah menjadi miliknya.

Ketika itu, dia baru sahaja kembali aktif berlakon selepas setahun berehat demi menumpukan perhatian terhadap persekolahan.

PELAKON remaja ini mengakui, kesukaran bertutur dalam bahasa Melayu menjadi antara cabaran yang dihadapinya ketika awal penggambaran drama iTanggang.

“Sejujurnya, saya tidak begitu faham dengan watak diberi, tetapi waktu berputar, perlahan-lahan saya dapat menyelami isi hati Esra. Penggambaran selama dua bulan juga memberi saya ruang untuk baca skrip dan memahami karakter.

“Mula-mula memang susah sebab sudah setahun saya berehat daripada lakonan. Agak bergelut juga pada minggu pertama penggambaran, tapi mujurlah semua orang di set banyak membantu,” katanya yang memulakan karier lakonan menerusi Wizards of Warna Walk pada 2019.

‘Roh’ Esra

Bersandarkan usia remaja, pendek kata baru setahun jagung dalam dunia lakonan, namun rezeki yang datang bergolek biarpun menjadi ‘bidan terjun’ pada saat-saat akhir, langsung tak menjadikan lakonannya kelihatan canggung.

Bakatnya malah dijulang kerana watak antagonis yang dipotretkan selaku anak derhaka dan biadab berbekas yang cukup mendalam sehingga mencetuskan kebencian orang.

Itu cerita dalam televisyen. Realitinya, roh Esra benar-benar meresap dalam diri Emma.

Akuinya, watak jahat itu sedikit sebanyak ‘mempengaruhi’ kehidupannya ketika di luar set.

OBSES dengan pelakon Anzalna Nasir, Emma juga meminati pelakon serba boleh Nabila Huda dan merangka impian untuk menyertai kedua-dua aktres itu dalam apa jua naskhah yang ditawarkan suatu masa kelak.

Kebiadaban Esra membuatkan dia terhanyut dengan sikap buruk itu sehingga sesetengah orang terdekatnya pernah terasa hati dengan dirinya.

“Sangat sukar hidup sebagai Esra, sebab saya terbawa-bawa wataknya sampai dunia realiti. Kelakuan Esra terbawa sampai ke luar dan kawan-kawan saya perasan.

“Saya tak ada niat nak buat begitu tapi apabila di luar set, saya tetap mahu bawa Esra bersama dalam diri supaya dapat potret wataknya dengan lebih baik.

“Mungkin sesetengah orang terasa hati sebab cara saya bercakap macam kurang ajar. Tapi saya minta maaf walaupun ada yang macam tak nak terima. Tak apa, itu salah saya. Cuma saya tiada niat pun,” jelasnya.

Personaliti Esra yang biadab dan tegas dalam i-Tanggang sebenarnya cukup berbeza daripada karakter sebenar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Katanya, dia tidak sukakan keganasan atau pernah menyakiti ibu sendiri seperti yang tergamak dilakukan Esra.

“Saya bukan orang yang cepat marah. Kawan-kawan pun suka datang kepada saya kalau mereka ada masalah. Saya juga seorang pendiam dan kuat memendam, sangat berlawanan dengan keperibadian Esra. Cuma kami ada persamaan iaitu tak suka ke sekolah,” seloroh Emma menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI