PETALING JAYA- Secara kebiasaannya lorong kanan digunakan bagi kenderaan yang mahu memecut manakala lorong kiri pula dikhususkan bagi pemandu yang memandu secara santai di mana-mana lebuh raya di negara ini.
Bagaimanapun, berbeza dengan situasi dialami seorang pengguna apabila dia terpaksa memandu perlahan di lorong kanan berikutan tindakan sekumpulan pemandu yang berkonvoi hingga menyusahkan orang lain.
Menerusi perkongsian video daripada pemilik Twitter dikenali sebagai @Nidaasifa, dia berasa kecewa dengan sikap pemandu yang menyertai konvoi dan memandu secara perlahan di lorong kanan lebuh raya.
Dalam video berdurasi 16 saat dikongsikan wanita itu, kelihatan deretan kereta Perodua Aruz dipandu secara perlahan di lorong kanan hingga menyebabkan pengguna lain terpaksa memecut di lorong kiri untuk memintas konvoi tersebut.
“Siapa dekat sini bapa adik beradik dia ada dalam persatuan kereta Aruz, tolong pesan kalau nak konvoi dekat lebuh raya jangan duduk lorong kanan ramai-ramai dan memandu perlahan, buat jalan sesak pagi-pagi,” ciapnya.
Wanita itu turut meminta konvoi tersebut untuk tidak menjadikan lebuh raya itu seperti milik mereka kerana boleh menyebabkan jalan sesak terutamanya ketika waktu pagi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen turut bersetuju dengan wanita itu dengan menyifatkan situasi tersebut boleh mengundang marah orang ramai.
“Minat yang mendatangkan amaran dan menyusahkan orang,” sindir @NayeOra.
“Geng-geng konvoi yang tidak tahu adab ini semakin bertambah,” kata @bmpower81.
“Memang biadap la geng konvoi ini, selamba sahaja bolot jalan,” jelas @Haffismustafa.
“Memang bebal orang yang berkonvoi tetapi dia tiada ‘common sense’,” ujar @edrashyours. -K! ONLINE