BEIJING – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan di China menjadi sensasi internet kerana mempamerkan kehebatannya bermain snowboard, lapor laman berita Wionews semalam.
Wang Yuji yang belum boleh berjalan dengan betul dilihat bermain snowboard di sebuah resort berhampiran Beijing yang akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Peluncur cilik itu dipakaikan but kecil oleh ibu bapanya selain badannya turut dipakaikan beberapa lapisan pakaian sebagai pelindung cuaca sejuk.
Sebaik dilepaskan, Yuji dilihat meluncur menerusi trek bersalji itu sambil ketawa kecil dan mendepakan tangannya.
‘’Kami memakaikannya kasut dan menyedari dia boleh berdiri menuruni cerun itu sendiri sambil mengimbangi badan,’’ kata ibu Yuji, Fan Xueyin.
Percubaan pertama Yuji bermain snowboard bermula pada dua minggu lalu dalam satu percutian keluarga. – Agensi