PETALING JAYA – Setelah segala kekecohan yang timbul apabila pelawak Tauke Jambu didakwa berkahwin sekali lagi, rupa-rupanya kontroversi tersebut hanyalah gimik untuk iklan promosi ubat kesihatan lelaki dan wanita.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 45, dalam sebuah video dimuat naik dalam Instagramnya semalam.
Video berdurasi dua minit 40 saat tersebut memaparkan adegan akad nikah yang berlangsung antara dirinya dengan seorang wanita bernama Shu seperti yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun jelas Tauke, acara pernikahan antara dirinya dengan Shu tidak wujud kerana itu semua hanyalah iklan untuk mempromosikan ubat kesihatan lelaki dan wanita yang diusahakan mereka.
“Astaghfirullahalazim. Macam mana, dah tengok? Sebenarnya acara itu atau pernikahan saya dengan Shu tak wujud. Itu hanyalah iklan yang kami berdua buat. Iaitu produk Shu dan saya, kami ‘kahwinkan’.
“Kami bekerjasama untuk jadikan bisnes ini, itu sahaja. Jadi dah terjawan segala teka-teki dan persoalan semua? Saya masih lagi ada seorang bini, belum dua lagi. Harimau kat rumah tu, matilah nak (seloroh),” ujarnya.
Biarpun meletuskan kontroversi dengan isu pernikahan kali kedua, namun pelawak sensasi itu menitipkan kepada orang ramai agar berhati-hati dalam menilai sesuatu berita.
“Pesanan daripada saya, supaya kita lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu isu atau berita,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu, nama Tauke sekali lagi menjadi bahan buah mulut orang ramai selepas sebuah video mendakwa dia bernikah dengan seorang wanita bernama Shu tular menerusi media sosial.
Dalam video tersebut, pelawak itu lengkap memakai persalinan baju Melayu berwarna putih sedondon dengan wanita terbabit.
Dia bagaimanapun bertindak mengunci mulut dan tidak menjawab pertanyaan media untuk mengesahkan kesahihan berita ‘pernikahannya’ tempoh hari. – K! ONLINE