JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor telah mengeluarkan sebanyak 64 notis kepada peniaga sayur-sayuran untuk menyiasat aduan berkaitan kenaikan harga jualan barangan seperti tomato, lobak, kubis bulat dan cili merah.
Pihaknya dalam satu kenyataan memberitahu, notis berkenaan dikeluarkan agar siasatan dijalankan untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
Menurut kenyataan itu lagi, 10 aduan yang diterima berkaitan kenaikan harga telah disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dengan dikenakan tindakan kompaun.
“KPDNHEP Johor maklum akan kenaikan beberapa jenis barangan keperluan harian seperti barang basah dan barang segar di lokasi tumpuan seperti pasar awam dan pasar basah.
“Ini berikutan pembukaan semula hampir keseluruhan sektor ekonomi perniagaan selain kebenaran pergerakan rentas negeri serta kebenaran mengadakan majlis keraian bermula 11 Oktober lalu.
“Sehubungan itu, KPDNHEP Johor telah mempergiatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan di seluruh Johor melibatkan semua jenis pasar seperti pasar basah, pasar awam, pasar tani dan juga pasaraya yang menjual barangan basah dan segar dalam Ops Pasar 2021,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, pelaksanaan Ops Pasar bertujuan memantau kenaikan harga barangan keperluan utama seperti sayur, ikan, daging dan ayam di peringkat pembekalan barang secara berterusan mengikut rantaian pengedaran.
“Pemeriksaan dibuat melibatkan peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasaraya) dan pembekal (pemborong, peladang, pengeluar, pengimport) agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Hasil pemantauan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan mudah diperolehi di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.
Sehubungan itu, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro telah mengetuai satu pemeriksaan di Pasar Awam Taman Universiti, Johor Bahru.
“Berdasarkan rekod, sebanyak 5,687 premis telah diperiksa meliputi 4,193 peruncit; 1,061 pemborong dan 433 pengilang oleh KPDNHEP Johor sejak negeri ini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 Oktober lalu,” jelasnya.-K! ONLINE