fbpx

Separuh masa: JDT hampir pasti ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bergson Da Silva (kiri) meledakkan dua gol untuk membantu JDT berada kedudukan selesa mengatasi TFC 3-0 pada separuh masa pertama.

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti melangkah ke pentas akhir edisi ke-100 Piala Malaysia selepas mendahului permainan dengan jaringan 3-0 pada babak pertama.

Penyandang juara piala berprestij itu mempamer taring mereka apabila ‘membuli’ skuad Sang Penyu dengan meledak tiga gol dalam masa 15 minit pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Kedudukan tersebut meletakkan pasukan Benjamin Mora di kedudukan selesa setelah mengatasi pasukan lawan dengan agregat 4-1.

Ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva meledak dua gol manakala Gonzalo Cabrera menambah satu gol meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain di kedudukan tertekan.

Hasrat Mora untuk memperoleh gol awal berhasil apabila bintang kelahiran Brazil itu membuka jaringan pada minit keenam hasil sepakan voli dari jarak 25 meter menewaskan penjaga gol.

Gawang Terengganu FC (TFC) sekali lagi bocor pada minit ke-10 menerusi larian lipas kudung Arif Aiman Hanafi yang mengumpan bola kepada Afiq Fazail lalu menghantar kepada Bergson yang mendada bola kepada Cabrera untuk diletakkan ke dalam gawang lawan.

Ketika pasukan pelawat cuba mendapatkan rentak permainan, JDT sekali lagi mengejutkan pasukan TFC apabila Bergson menambah jaringan setelah menghukum kesilapan benteng pertahanan lawan pada minit ke-14.

Perlawanan itu bertukar tegang setelah pemain senior Harimau Selatan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah setelah menghantuk kepala Faisal Halim pada minit ke-16.

Faisal kelihatan berkatakan sesuatu kepada bekas kapten JDT itu sebelum Safiq bertindak agresif melakukan kekasaran tersebut.

JDT yang bermain dengan 10 pemain diasak pasukan lawan dan gawang mereka hampir dibolosi pada minit ke-36 namun peluang keemasan itu disia-siakan Jordan Mintah apabila percubaan jarak dekatnya melambung tinggi.

Nafuzi dilihat perlu lebih agresif dan menggunakan kelebihan JDT kekurangan seorang pemain bagi mencari tiga gol sekali gus menghidupkan peluang yang tipis itu untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI