SEREMBAN – Tiada kenaikan harga mendadak yang direkodkan bagi semua jenis sayur dalam tempoh sebulan kebelakangan di Negeri Sembilan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya memandang serius akan kenaikan harga sayur seperti kobis bunga, sawi pendek (Choy Sum), brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.
“Berdasarkan pemantauan yang telah dijalankan oleh Seksyen Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga tiada kenaikan harga mendadak yang direkodkan bagi semua sayur dalam tempoh sebulan seperti yang dilaporkan.
“Kenaikan direkodkan adalah secara berperingkat yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kos pengangkutan, keadaan cuaca dan ketidakseimbangan permintaan dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Ain Arjuna, bagaimanapun tidak semua jenis sayur yang disenaraikan tersebut mengalami kenaikan harga berperingkat.
“Terdapat juga sayur yang hanya mengalami kenaikan dan penurunan harga biasa seperti cili merah, cili hijau dan kubis.
“Perbandingan sayur pada harga sebelum (22 November 2021) dan harga semasa (26 November 2021) bagi satu kubis bunga adalah sama RM13, dua sawi pendek (Choy Sum) RM9, empat sawi RM9, tujuh cili merah RM13.
“Seterusnya, tiga brokoli turun daripada RM18 kepada RM13, lima kacang buncis RM15 kepada RM13, enam kubis RM6 kepada RM5, lapan cili hijau RM12 kepada RM10,” katanya.
Menurut Ain Arjuna, isu kenaikan harga sayur-sayuran ini juga turut dibuat pemantauan di pasar raya seluruh Negeri Sembilan.
“Harga di pasar raya juga dilihat ada berlaku kenaikan dan penurunan setiap hari, namun tidak melibatkan semua jenis sayur.
“Bekalan sayur-sayuran bagi seluruh Negeri Sembilan adalah mencukupi dan tidak mengalami gangguan bekalan,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, dapat dilihat kenaikan harga yang berlaku di pasar raya melibatkan kenaikan harga daripada peringkat pembekal.-K!ONLINE