GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2022 dengan defisit sebanyak RM449.8 juta.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ia membabitkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM935.22 juta berbanding jangkaan hasil negeri sebanyak RM485.42 juta.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip pada 2022 berkurangan 4.07 peratus atau RM20.6 juta berbanding tahun ini dengan mengambil kira kesan pandemik Covid-19 yang masih belum reda.
Beliau berkata, defisit itu akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM887.78 juta pada akhir tahun 2020.
“Kerajaan Negeri tidak menafikan bahawa amaun defisit ini adalah tinggi namun optimis kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri dan juga Persekutuan.
“Kerajaan Negeri telah bersiap sedia dengan strategi bagi meningkatkan hasil negeri seiring dengan pemulihan ekonomi dan sentiasa berusaha untuk mengurangkan tunggakan hasil melalui beberapa langkah yang telah disusun dan diatur melibatkan jabatan-jabatan negeri,” katanya ketika pembentangan Bajet 2022 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. – K! ONLINE