PRESIDEN Persatuan Seni dan Budaya Tarian Jalanan (SDACA), Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat percaya sukan tarian breaking berpotensi menjadi salah satu penyumbang pingat negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, Malaysia mempunyai ramai atlet berbakat dalam sukan tarian seperti breaking contohnya pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2019, Sam Lee Jek yang lebih dikenali sebagai Lego Sam.
“Atlet negara mampu untuk memasuki sehingga ke peringkat Olimpik 2024. Bukan sahaja layak tetapi menjadi juara di sana.
“Kita harus beri semangat dengan bantu mereka dari segi dana dan sokongan pihak kerajaan. Sukan ini perlu diberi peluang selepas mencipta nama di peringkat antarabangsa terutama Sukan SEA,” kata Wan Adnan.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Grand Finale Phaze International Dance Competition yang dianjurkan secara maya dengan hadiah kemenangan terkumpul bernilai AS$35,000 (RM148,435) di Subang Jaya, Selangor kelmarin.
Dua atlet negara iaitu Lego Sam dan Mohd. Faridh Mohd. Yassin dengan nama gelaran Khenobu akan terbang ke Paris esok bagi menghadapi satu kejohanan kelayakan Olimpik 2024 dalam acara sukan breaking.
Sukan itu merupakan salah satu acara baharu dipertandingkan di Paris 2024 selepas membuat penampilan sulung sewaktu saingan Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina.
Kejohanan kelayakan di Paris itu juga dilihat sebagai platform terbaik buat Lego Sam dan Khenobu kembali merasai suasana pertandingan kerana sukan berkenaan juga bakal dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.