fbpx

93 permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mendedahkan lapan permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 melibatkan jumlah sebanyak RM132,500 dalam proses pembayaran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sehingga semalam, sebanyak 93 permohonan diterima yang mana, permohonan berjaya akan menerima bayaran melalui pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Katanya, sebanyak 78 permohonan lagi masih dalam penilaian dan daripada jumlah itu, 56 permohonan dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK), manakala 22 permohonan dalam penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal Perubatan (JTP).

“Tujuh lagi permohonan telah ditolak kerana tidak dikategorikan sebagai kes kesan tindak balas vaksinasi (AEFI) serius,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Khairy Jamaluddin berkata, bantuan itu khusus kepada warga tempatan yang menerima vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan mendapat kesan sampingan yang serius selepas menerima vaksin.

Katanya, bantuan khas ini akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang perlu dipenuhi iaitu AEFI yang berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada menerima vaksin; serta dikategorikan sebagai serius berdasarkan laporan penilaian JFK.

Beliau berkata,laporan AEFI hendaklah dihantar kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh anggota kesihatan yang merawat pesakit.

“Nilai bantuan kepada individu yang terkesan oleh AEFI ditentukan berdasarkan perakuan JTP dan diputuskan oleh Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19.

“Ia tidak melebihi RM50,000 jika berlaku kesan advers yang serius kepada penerima vaksin yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan tidak melebihi RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI