MANCHESTER – Manchester United sudah mencapai kata sepakat untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus sementara dengan kontrak selama enam bulan sehingga Mei tahun depan.
Difahamkan, Rangnick, 63, hanya bersetuju untuk menjadi pengurus sementara selepas beliau didakwa menolak pelawaan United yang mahukannya memegang tugas sebagai konsultan kelab selama dua tahun selepas itu.
Kehadiran Rangnick pastinya melegakan penyokong-penyokong The Red Devils susulan kelab kesayangan mereka itu tanpa pengurus tetap selepas Ole Gunnar Solskjaer meletakkan jawatan pada 21 November lalu.
Bagaimanapun, Rangnick yang ketika ini memegang jawatan sebagai ketua pembangunan sukan dengan kelab Rusia, Lokomotiv Moscow, tidak sempat untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Chelsea pada Isnin ini.
Ia disebabkan isu permit kerja dan menyaksikan penolong jurulatih United, Michael Carrick akan meneruskan tugasnya sebagai pengendali utama buat sementara waktu.
Sebagai rekod, Rangnick merupakan salah seorang individu berpengaruh di Eropah kerana melahirkan ramai jurulatih berkelas dunia antaranya pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan ‘bos’ Liverpool, Jurgen Klopp.
Biarpun bersetuju melantik Rangnick tetapi United dikatakan tetap akan memburu khdimat ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino sebagai pengendali tetap, namun perlu menunggu sehingga musim ini berakhir. – AGENSI