fbpx

Tinggal anak dalam kereta sebab beli lauk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan kecuaian individu meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan tanpa pengawasan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurut seksyen itu, penjaga atau ibu bapa cuai boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Ekoran itu, rata-rata pengguna media sosial terutama ibu bapa berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman mereka apabila ‘terpaksa’ bertindak meninggalkan anak-anak di dalam kereta atas sebab-sebab tertentu.

Dalam perkongsian melalui komen yang ditinggalkan melalui Facebook MKN tersebut, ada antaranya membangkitkan persoalan mengenai akta terbaharu itu dan sebab mengapa mereka terpaksa berbuat demikian.

“Ada sesetengah tempat tidak beri kebenaran bawa masuk budak. Jadi saya terpaksa memilih untuk tidak membawa dan me­ninggalkan anak sebentar di dalam kereta,” luah seorang wa­nita.

Seorang lagi, individu turut berkongsi pendapat mengatakan dia terpaksa meninggalkan anak di dalam kereta untuk membeli makanan, namun tetap menitikberatkan keselamatan.

“Saya pernah tinggal anak dalam kereta sebab nak beli lauk, macam mana nak ceduk lauk dan dukung anak? Ambil satu dua lauk sepantas kilat, kereta saya kunci, buka tingkap sikit, kereta parkir betul-betul depan kedai, mata sentiasa perhati, itu pun sudah ada orang tegur tinggal anak,” kongsi seorang bapa.

Sementara itu peguam Muhammad Amin Abdullah berpendapat, meninggalkan kanak-kanak di dalam kende­raan tanpa pengawasan merupakan satu pengabaian kerana mendatangkan bahaya serta boleh dikenakan tindakan jika terdapat bukti perlakuan itu boleh menyebabkan kecelakaan.

“Perkataan ‘abai’ itu sendiri menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka merujuk kepada cuai atau lalai. Justeru, kecuaian ibu bapa atau penjaga dengan membiarkan atau meninggalkan kanak-kanak di dalam kereta merupakan satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, peguam itu berkata, hukuman pemenjaraan lebih sesuai bagi kesalahan berulang atau melibatkan kematian atau kecederaan serius kepada kanak-kanak yang diabaikan.

Bagaimanapun sekiranya pesalah dihadapkan ke mahkamah, peguam itu berkata, mahkamah hendaklah mende­ngar rayuan pesalah dan ­me­ng­ambil kira faktor-faktor mitigasi sebelum hukuman dijatuhkan.

“Ini kerana, hukuman yang diberikan akan menjadi mesej kepada umum yang menunjukkan kesalahan yang dilakukan serius dan tidak boleh dipandang enteng,” katanya lagi.

Merujuk situasi itu, dalam kejadian terbaharu melibatkan kematian kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta, media pada Mac lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas lebih lima jam di­tinggalkan dalam kereta yang dipandu pengetua sebuah tadika.

Dalam kejadian di Sungai Pe­tani, Kedah itu kanak-kanak tersebut disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim.

Ekoran kejadian itu polis kemudian menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada pendapat penulis, apa pun pilihan di tangan kita, sama ada kita memilih takut dikenakan tindakan atau keselamatan lebih diutamakan. Tepuk dada tanyalah selera. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI