SESETENGAH pihak mungkin berpendapat, Taylor Swift tak habis-habis tulis lagu tentang mantan kekasih. Bukan hanya tulis, bikin album atau lagu, pemilik nama lengkap Taylor Alison Swift itu turut merakam semula kebanyakan kerja muziknya sebelum ini.
Album Fearless sudah diberi sentuhan semula dan baru-baru ini, penyanyi itu bertindak merakamkan semula album keempat yang pernah diterbitkan pada 2012 iaitu Red dengan judul Red (Taylor’s Version).
Mengulas sedikit tentang persoalan pada perenggan pertama, apa yang dilakukan Taylor sebenarnya bukan sekadar menulis muzik tentang bekas teman lelaki.
Dia seorang pemuzik dan jika apa yang dikerjakannya sedekad lalu tidak memberi hak pemilikan ‘master rights’ kepadanya, sedangkan kebanyakan lagu yang ditulis dalam album versi terdahulu adalah hasil genius mindanya, semestinya dia berhak dan layak untuk merakam semula karya lamanya.
Apa yang Taylor lakukan sepatutnya dijadikan pengajaran dan ikutan buat sesiapa sahaja individu yang berprofesion sebagai pemuzik. Kalian berhempas-pulas menulis lagu dan itu adalah usaha yang perlu ‘dipatenkan’ .
Berbalik tentang kualiti Red (Taylor’s Version), album yang mengandungi 30 buah trek tersebut membuktikan dirinya seorang penyanyi dan pemuzik yang bukan calang-calang.
Matang, mencengkam
Big Machine atau Scooter Braun mungkin dah boleh ‘bungkus’ versi lama Red memandangkan Taylor tanpa rasa berbelah bahagi dan gentar kembali menerbitkan semula album berkenaan.
Bukan itu sahaja, usaha yang dilakukan Taylor mendapat sambutan menggalakkan dunia apabila versi baharu meroket ke tangga pertama Billboard 200 (album) dan lagu dengan durasi 10 minitnya, All Too Well turut mencanak ke tangga pertama carta album di Amerika Syarikat, Billboard Hot 100.
Meskipun kebanyakan lagu telah kita dengar menerusi album terdahulu, Red Taylor’s Version diadun dengan kematangan vokal, susunan muzik yang lebih luas, bersinar dan secara kasualnya lebih mencengkam.
Apa yang menarik tentang Red Taylor’s Version? Dari segi instrumentasi, diskografi ini dibawa secara lebih mendalam dengan perincian yang lebih lebih memfokus.
Sebagai contoh pendengar sudah tahu All Too Well versi lama dan All Too Well versi baharu lebih polished, matang dan lebih ‘Taylor Swift’.
Kalau ditanya antara 30 trek yang terkandung, mana satu menjadi pilihan utama penulis, rasanya soalan sebegitu tidak adil.
Kesemua lagu dirasakan memberi impak dan rasa nyaman tersendiri.
Bagaimanapun, jika terpaksa membuat pilihan dan kalau ada butang ‘repeat’, penulis akan pilih I Bet You Think About Me (featuring Chris Stapleton). Untuk terbitan kali ini, karya itu boleh diulang dengar sampai lebam dan kemudian habiskan 29 trek lain dengan setia dan bersungguh-sungguh.
Sejauh ini, wanita itu telah mengukir jalan buat ramai pemuzik agar tidak mudah diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya.
Untuk semua kerja dan usaha, setiap pemuzik berhak menuai hasilnya dan tidak selalunya harus berada bawah telunjuk label atau syarikat rakaman.