KUALA LUMPUR – Malaysia mencipta kejutan sensasi apabila berjaya mengikat pasukan pilihan, Belgium 1-1 pada aksi kedua Kumpulan Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) di Stadium Kalinga, India sebentar tadi.
Keputusan seri ke atas naib juara edisi JWC 2016 itu amat bermakna buat skuad projek khas lelaki kebangsaan yang terus menghidupkan peluang untuk mara ke suku akhir selepas ini.
Anak-anak buah Wallace Tan sememangnya layak menerima pujian kerana Malaysia sebelum ini tewas kepada Belgium dalam dua pertemuan terakhir sejak kali terakhir menang 4-2 sewaktu JWC 2005.
Dalam aksi itu, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-29.
Tersentak dengan jaringan itu, Belgium bangkit melancarkan banyak serangan ke arah gawang gol namun kesemuanya berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan negara.
Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol, Che Sharul Azmi Che Saupi yang cukup tangkas menyelamatkan begitu banyak percubaan berbahaya terutama tiga pukulan sudut penalti Belgium.
Bagaimanapun, hasrat untuk mencatat kemenangan ke atas Belgium tidak kesampaian apabila skuad bimbingan Jeroen Baart itu akhirnya berjaya juga menjaringkan gol penyamaan melalui Thibeau Stockbroekx pada minit ke-49.
Malaysia masih berpeluang untuk mengesahkan slot ke peringkat suku akhir jika berjaya menumbangkan Afrika Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A esok. – K! ONLINE