PETALING JAYA – Jika suami menceraikan pasangannya tanpa sumpah li’an atau laknat maka hasil anak dari isteri curang masih boleh di ‘nasab’ (bin) pada suami walaupun sudah berpisah.
Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, jika sesebuah pasangan itu bercerai tanpa sumpah laknat anak itu boleh menjadi tanggungan suami.
“Cerai biasa ini kesannya adalah anak tersebut masih lagi boleh di ‘nasab’ kepada suami walaupun sudah bercerai, kerana dia tidak menafikan itu adalah anak dia.
“Kalau mengikut sisi hukum syarak mesti lakukan sumpah laknat yang kita menuduh isteri telah berzina dengan lelaki lain, kerana bila ada sumpah macam itu automatik terputus ikatan perkahwinan selamanya,” katanya dalam Facebook.
Tambahnya lagi, jika sumpah itu dilakukan anak tersebut tidak boleh dinafkahkan dan tidak akan mendapat harta pusaka tetapi jika sebaliknya berlaku hasil kandungan itu masih layak menerima seperti anak sah taraf.
“Jika dah di sumpah laknat, anak itu tak boleh dinafkahi, tak dapat harta pusaka kalau kanak-kanak itu perempuan bekas suami itu tidak layak untuk menjadi wali pada anak zina itu.
“Tetapi jika penceraian yang berlaku itu biasa tanpa sebarang sumpah laknat, lelaki tersebut perlu memberikan nafkah dan layak untuk mendapatkan harta pusaka seperti biasa,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tentang hasil hubungan isteri curang bersama individu lain bukanlah tanggungjawab pasangan bersama jika si suami itu tidak mengiktiraf status anak tersebut. – K! ONLINE.