PETALING JAYA – Sekali lagi membuat kejutan, penyanyi rap terkenal Yonnyboii mengesahkan selamat menikahi dengan wanita pilihannya Nik Nazira Narriman di Duchess Place, Ampang di sini pada 20 November lalu.
Tiada lagi rahsia, Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, atas permintaan keluarga, majlis pernikahan yang sepatutnya diadakan pada awal tahun hadapan telah dipercepatkan kerana khuatir sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula jika jangkitan Covid-19 meningkat.
“Sebenarnya saya telah bernikah pada 20 November lalu iaitu sehari selepas Haqiem Rusli berkahwin dan majlis tersebut disegerakan kerana keluarga meminta kami mempercepatkan majlis.
“Majlis nikah kami berlangsung sederhana yang hanya dihadiri seramai 20 orang ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua belah pihak,” kata pelantun lagu Salahku itu.
Menolak dakwaan dia sengaja merahsiakan cerita hari bahagianya, Yonny menegaskan perkara tersebut dilakukan kerana perlu menjaga hati banyak pihak selain menghadkan jumlah tetamu yang hadir.
“Tiada niat hendak merahsiakan pernikahan cuma kami hanya ingin menjaga hati keluarga dan jumlah tetamu juga terpaksa dihadkan, maka disebabkan itu, kami memilih untuk tidak terlalu berkongsi kepada umum.
“Syukur, semua urusan pernikahan berjalan lancar dan dan selesai dalam tempoh sehari saja. Sebenarnya keputusan untuk berkahwin ini dibuat tiga hari sebelum tarikh 20 November,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu perkongsian foto dan mendedahkan tentang pernikahannya dalam media sosial dilakukan selepas diminta oleh ibunya.
“Bagi mengelakkan sebarang fitnah atau cerita kurang enak, ibu saya yang menasihatkan dan meminta kami untuk berkongsi foto-foto pernikahan dalam Instagram.
“Sama macam orang selalu cakap, urusan perkahwinan elok dikongsi kepada umum. Apapun terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk kami,” ujarnya.
Malam tadi, Yonny dan Nazira mencuri perhatian ramai selepas kedua-duanya memuat naik foto majlis pernikahan mereka dalam Instagram.
“Bismillahirrahmanirrahim, hai isteri,” tulisnya dalam satu entri Instagram.
Untuk rekod, Yonny juga sebelum ini pernah mengejutkan ramai apabilla secara tiba-tiba mengumumkan sudah mengikat tali pertunangan dengan Nazira, 22, pada 9 Oktober lalu. – K! ONLINE