AMPANG – Seorang duda ditemui mati di atas kerusi di sebuah rumah di Apartmen, Jalan Ukay Bestari, Taman Melawati, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kaunter aduan Balai Polis Taman Melawati menerima panggilan telefon daripada orang awam pukul 12 tengah hari memaklumkan terhidu bau busuk dari dalam rumah tersebut.
“Hasil pemeriksaan polis yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang lelaki tempatan ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas kerusi di ruang ramu.
“Proses pengecaman telah dilakukan keluarga mangsa dan mereka mengesahkan mangsa yang berusia 55 tahun itu tinggal bersendirian di rumah berkenaan.
“Mangsa yang tidak bekerja dan berstatus duda hampir sembilan tahun itu mempunyai anak lima orang yang dijaga oleh bekas isteri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian didapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, pemeriksaan turut dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Gombak bagi mengesahkan sama ada mangsa terkena jangkitan Covid-19, namun ia belum dapat dipastikan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Ampang untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” ujarnya. – K! ONLINE